DAPATKAN PRODUK KECANTIKAN & KESIHATAN ORIGINAL DI SINI

Hasilkan tanjak Jalur Gemilang mini bangkitkan semangat kebangsaan

PONTIAN: Walaupun sudah dua tahun sambutan Hari Kebangsaan diraikan dalam suasana norma baharu yang agak ‘lesu’ disebabkan pandemik COVID-19, namun masih ramai lagi rakyat Malaysia yang berusaha menzahirkan semangat kemerdekaan melalui pelbagai cara yang menarik dan unik.

Bagi Mohd Shahrolnizam Ab Rahman, 39, beliau memilih untuk mempamerkan semangat patriotisme sempena bulan kebangsaan ini, dengan menghasilkan tanjak Jalur Gemilang mini sebagai tanda kenangan pada bulan istimewa ini.

Tidak hanya dijadikan koleksi peribadi, tanjak mini khusus itu turut dijual kepada orang ramai yang berminat untuk memilikinya, terutama dalam kalangan peminat kesenian Melayu itu.

Mula berkecimpung dalam seni pembuatan tanjak sejak 2015, anak bongsu daripada 10 adik-beradik ini kemudiannya nekad ‘terjun’ secara serius dalam pembuatan tanjak pada 2019, selepas melihat potensi luas kesenian tersebut yang mendorongnya untuk menghasilkan idea lebih kreatif, bagi mempelbagaikan kegunaan tanjak.

“Biasanya tanjak digunakan sebagai hiasan di kepala, tetapi saya pelbagaikannya dengan menghasilkan tanjak mini yang sesuai untuk disimpan di rumah, kenderaan atau sebagai cenderamata untuk rakan-rakan.

“Alhamdulillah, meskipun tinggal beberapa hari lagi sebelum sambutan Hari Kebangsaan, tempahan yang diterima masih menggalakkan. Jadi kalau hendak dikirakan, sampai sekarang sudah lebih kurang 160 tanjak mini telah terjual dari peminat tanjak seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Megah, di sini, baru-baru ini.

Berkongsi bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan tanjak Jalur Gemilang mini itu, Mohd Shahronilnizam berkata, ia bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, selepas memikirkan untuk mencipta sesuatu yang istimewa untuk Malaysia yang ketika itu sedang berjuang menentang COVID-19.

“Untuk menghasilkan tanjak Jalur Gemilang mini, saya menggabungkan kain bendera dan songket dan masa yang diambil untuk menyiapkannya tidak terlalu lama, hanya lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk setiap satu tanjak mini,” katanya yang menjual setiap satu tanjak mini dengan harga bermula daripada RM20.

Hanya mempelajari seni membuat tanjak melalui YouTube, beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menguasai kesenian khazanah warisan Melayu itu, sehingga berjaya menghasilkan sendiri tanjak yang menjadi minat dan kecintaannya.

“Mula-mula saya tengok dan kenali dahulu jenis lipatan tanjak dan saya belajar daripada YouTube sebab banyak cara untuk menghasilkan tanjak yang boleh diikuti. Saya belajar sendiri dan semakin lama, semakin banyak tempahan dan daripada situ timbul minat untuk terus menghasilkan tanjak,” katanya.

Menjelaskan mengenai kesenian tanjak, terdapat beberapa jenis lipatan tanjak yang dihasilkannya mengikut permintaan pelanggan dan antara jenis lipatan yang dihasilkannya adalah Nakhoda Trong, Bugis Tak Balik, Dendam Tak Sudah, Balung Raja, Lang Menyongsong Angin, Takur Tukang Besi, Pancung Tak Bertanya, Balung Ayam, Ayam Patah Kepak dan Tok Beruas.

Mohd Shahrolnizam yang juga peniaga makanan itu berkata, selain tanjak mini beliau juga turut menghasilkan tanjak bersaiz besar, yang diperbuat daripada pelbagai jenis fabrik termasuk songket untuk digunakan di majlis-majlis keramaian, pengantin, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pelbagai lagi.

Dalam suasana negara masih belum menang dalam menentang musuh yang tidak nampak ini, Mohd Shahrolnizam turut menyeru orang ramai untuk tidak mengetepikan semangat Bulan Kebangsaan walaupun hanya berada di rumah.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan kita tidak dapat menyambut Hari Kebangsaan di luar, tetapi kita masih lagi boleh meraikannya di rumah bersama keluarga dan mungkin boleh menyemarakkan lagi semangat patriotik itu dengan memakai baju kebangsaan atau tanjak,” katanya yang turut mempromosikan hasil seni tanjaknya menerusi akaun Instagram dan Facebook.

— BERNAMA

Share This Post

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bestsellers

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping cart
Sidebar
Home
Shop
0 items Cart

Sign in

No account yet?